FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Sabran Md Sani


KERAJAAN Johor menerusi pelbagai agensi sudah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse

Beliau berkata, gelombang kedua itu bergantung kepada hujan serta fenomena air pasang di Mersing bermula hari ini hingga 27 Disember ini.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan diramalkan di Mersing bermula petang ini.

“Pada masa sama, daerah itu akan mengalami fenomena air pasang selama tiga hari bermula hari ini," katanya pada Karnival Gaya Hidup Sihat (KGHS) 2019 di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulai, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memantau situasi hujan dan air pasang yang akan berlaku di Mersing.

“Kita tengok (lihat), (Jabatan) Meteorologi punya laporan dan dijangka sebahagian tempat di Mersing akan ada hujan dan kita pantau situasi itu.

“Hari ini, esok dan lusa air pasang di Mersing. Jadi kalau tidak ada apa-apa isu, dia ok (tiada banjir)," katanya.

Menurutnya, banjir berlaku sekiranya hujan lebat di satu tempat sahaja.

“Jika itu berlaku, ia mungkin ada masalah (kemungkinan banjir).

“Tapi berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi, petang ini akan hujan di Mersing dan harap tidak banyak serta tersebar luas," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi banjir gelombang kedua.

“Bila saya sudah umum, kita sudah sedia dengan agensi-agensi berkaitan dan setakat ini tidak berlaku (gelombang kedua banjir)," katanya.

Terdahulu, Jimmy Puah merasmikan Karnival Gaya Hidup Sihat 2019 bertemakan 'Sihat Sepanjang Hayat' anjuran bersama Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Negeri Johor. Hadir sama, Pengarah Program merangkap Pengerusi Bebas Asap Rokok Johor, Dr Siti Kamariah Othman.

Pada majlis itu, ]102 pelajar asnaf sekitar Kulai dan Senai menerima bantuan 'back to school', selain 25 pelajar miskin di Zon Tenggara menerima sumbangan cermin mata.

Jimmy Puah sebelum ini berkata pertembungan air pasang, ditambah dengan taburan hujan luar biasa sehingga ada kawasan yang menerima taburan hujan menyamai hujan selama lima bulan adalah antara faktor yang menyumbang kepada banjir di Johor.

Katanya, berdasarkan analisis data dari agensi berkaitan, apa yang berlaku sebelum ini menyaksikan sebahagian besar kawasan di Johor menerima jumlah hujan di luar jangkaan dan terlalu tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 2:19 PM