JURUTEKNIK Air Selangor menghidu sampel air  Sungai Semenyih di Bukit Mahkota, Bangi.
JURUTEKNIK Air Selangor menghidu sampel air Sungai Semenyih di Bukit Mahkota, Bangi.
Rosyahaida Abdullah


SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (Span) akan melakukan siasatan terhadap kejadian pencemaran sumber air mentah yang mengakibatkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, kelmarin.

Dalam satu kenyataan, Span berkata, punca pencemaran bau pada sumber air mentah terbabit bukan daripada operasi rawatan air sisa kumbahan yang dijalankan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) secara langsung.

Sebaliknya, ia disyaki berpunca daripada pembuangan sisa tidak dibenarkan secara haram berdekatan Loji Olahan Air Sisa Kumbahan Bandar Mahkota.

“Jika didapati puncanya adalah akibat daripada perbuatan mana-mana individu yang melepaskan atau membenarkan tindakan melepaskan ke dalam pembentung awam mahupun tempat rawatan kumbahan awam, tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 61(1), Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655).

“Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 61(2), akta sama,” kata kenyataan itu.

Span juga sudah mengarahkan IWK untuk mengambil tindakan serta-merta bagi mengurangkan kesan bau pada loji terbabit.

“Pada masa sama, IWK juga sudah diminta untuk memantau secara rapi semua loji mereka supaya tiada lagi aktiviti pembuangan sisa terlarang berhampiran loji berlaku,” tambahnya.

Sejumlah 372,031 akaun pelanggan yang berdaftar di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas kelmarin.

Bekalan air bagaimanapun kembali pulih selepas LRA terbabit beroperasi semula awal pagi kelmarin dengan peratusan pemulihan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:01 AM