USTAZ Azhar Idrus. FOTO Arkib NSTP
USTAZ Azhar Idrus. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Rabiul Zulkifli


SELEPAS dua bulan berehat, Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) bakal memulakan ceramahnya seperti biasa bermula Januari ini.

UAI yang patah tangan kiri akibat jatuh basikal pada 4 November lalu dan menjalani pembedahan bagi memasang implan kini dilaporkan sudah pulih.

Bagaimanapun, tangan kirinya itu masih tidak boleh dibengkokkan sepenuhnya.

Pembantu khasnya, Wan Safari Wan Ahmad berkata, UAI sudah pulih dan akan mula berceramah di masjid dan surau yang dijadualkan di Terengganu, bermula Januari.

“Melihat keadaan UAI, beliau boleh dikatakan sudah sihat sepenuhnya cuma tangan kirinya itu masih tidak boleh dibengkokkan sepenuhnya.

“Buat masa sekarang UAI, hanya mampu membengkokkan tangan kiri itu pada kadar 90 darjah sahaja.

“Insya-Allah dalam tempoh terdekat tangan kiri yang masih dalam proses pemulihan itu akan semakin pulih dan boleh berfungsi dengan baik,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

USTAZ Azhar Idrus memberikan ucapan pada Program Back To School 4.0 Fisabilillah TRG. FOTO Ihsan Pembaca
USTAZ Azhar Idrus memberikan ucapan pada Program Back To School 4.0 Fisabilillah TRG. FOTO Ihsan Pembaca

Beliau berkata, pada 20 Disember lalu, UAI turut menjayakan dan memeriahkan program Back To School 4.0 Fisabilillah TRG yang meraikan 300 anak yatim, asnaf serta fakir miskin di negeri ini.

“Pada program itu, UAI sebagai Penasihat Fisabilillah TRG sempat memberi ucapan dan melancarkan program berkenaan dengan baik sebelum turut beramah mesra dengan penerima sumbangan.

“Program itu ialah program pertama yang disertai UAI dan tampil di khalayak selepas dua bulan terbabit kemalangan.

“Kami bersyukur kerana kehadirannya menceriakan lagi kanak-kanak yang menerima sumbangan,” katanya yang juga Pengerusi Fisabilillah TRG .

Menurutnya, dia berharap orang ramai terutama pengikut ceramah UAI terus mendoakan kesihatan UAI sekali gus dapat memulakan rutin ceramah UAI di surau dan masjid seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 5:36 PM