ANTARA peserta Pertandingan Memancing Santai-Santai Kampung Lakai, Jelebu, semalam. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
ANTARA peserta Pertandingan Memancing Santai-Santai Kampung Lakai, Jelebu, semalam. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Hanya menggunakan joran pancing daripada pelepah kelapa sawit, warga emas, Juriyah Ismail berjaya menaikkan ikan tilapia hitam seberat 600 gram, sekali gus muncul pemenang tempat ketiga Pertandingan Memancing Santai-Santai Kampung Lakai, di sini, semalam.

Berikutan itu, dia membawa pulang hadiah wang tunai dan hamper dalam pertandingan di Sungai Marung berhampiran kampung itu.

Juriyah, 70, yang menggunakan umpan cacing mengambil masa 30 minit sebaik pertandingan memancing dimulakan pada 3 petang dan berakhir 5.30 petang.

Juriyah berkata, tidak seperti kebanyakan peserta yang menggunakan joran moden, dia hanya menggunakan pelepah kelapa sawit yang lebih mudah.

"Saya menyertai pertandingan ini untuk suka-suka bagi mengisi masa lapang dan tidak menyangka memenangi tempat ketiga kategori ikan terberat.

"Alhamdulillah, kemenangan tempat ketiga ini cukup menggembirakan kerana saya tidak berbelanja besar untuk menyertai pertandingan," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lakai, Adlan Jasin berkata, seramai 100 penduduk menyertai pertandingan memancing itu yang diadakan dengan kerjasama Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang, Noor Azmi Yusof.

Menurutnya, pertandingan itu untuk mengeratkan silaturahim penduduk kampung bersama pemimpin dan antara kategori dipertandingkan termasuk ikan terberat, paling ringan dan terpantas dipancing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 11:00 AM