ANTARA pengunjung yang terkandas di Bukit Bendera susulan kerosakan kereta api. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA pengunjung yang terkandas di Bukit Bendera susulan kerosakan kereta api. FOTO Ihsan Pembaca
Shamsul Munir Safini


PENGALAMAN percutian yang tidak akan dilupakan. Demikian kata seorang daripada pengunjung Bukit Bendera yang diselamatkan selepas terkandas di bukit itu lebih dua jam akibat kereta api membawa mereka mengalami masalah teknikal, 8 malam tadi.

Mangsa Fadilah Jenal, 30-an berkata, dia bersama suami Syazwan Harriz, 30-an, dan tiga anak mereka berusia tujuh hingga satu tahun terkandas di dalam kereta api berkenaan lebih 30 minit di kawasan ‘middle station’.

Katanya, dia bersama ratusan lagi terkandas di kawasan itu sebelum menunggu bantuan daripada pihak bomba hampir 30 minit.

“Ketika terkandas di dalam gerabak kereta api, bekalan elektrik masih terpasang, namun ia tidak dapat bergerak lebih 30 minit sebelum kami diarah keluar.

“Susulan itu kami terpaksa menunggu bantuan daripada pihak bomba hampir 30 minit sebelum diarahkan untuk turun menggunakan anak tangga sejauh 1.3 kilometer (km) ke kawasan bawah bukit,” katanya yang datang ke Pulau Pinang dari Johor Bahru.

Menurutnya, ketika menuruni anak tangga di situ, mereka dibantu anggota bomba di sepanjang jalan yang menyediakan minuman kepada mangsa yang sedang turun dalam keadaan gelap gelita.

Katanya, sebaik tiba di bawah, kesemua mangsa yang terjejas di kawasan ‘middle station’ diarahkan untuk berkumpul bagi tujuan mengesan mereka yang mungkin hilang sebelum dibenarkan pulang lebih kira-kira 12 tengah malam.

Katanya, ia adalah pengalaman percutian yang tidak akan dapat dilupakan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.26 malam tadi memaklumkan kejadian pengunjung terkandas di Bukit Bendera.

Katanya, sejumlah 966 pengunjung dilaporkan terkandas dengan 793 di kawasan puncak bukit manakala 173 lagi di kawasan ‘middle station’ tempat kereta api mengalami masalah.

Menurutnya, usaha membaik pulih kerosakan kereta api gagal disiapkan sebelum pihak pengurusan dan pihak berkuasa mengambil keputusan untuk membawa kesemua yang terkandas menggunakan pacuan empat roda melalui Taman Botani termasuk mereka yang akan menggunakan anak tangga untuk turun.

“Sebaik tiba di taman itu, mereka yang terkandas akan dibawa menaiki bas ke Lower Station sebelum diberi bantuan kecemasan sekiranya mengalami masalah kesihatan,” katanya.

Menurutnya, proses itu mengambil masa lebih dua jam dan kesemua mereka berjaya dibawa turun 12 tengah malam tadi dan operasi tamat 1.03 pagi tadi.

Pihak pengurusan Bukit Bendera dalam kenyataannya memohon maaf dengan masalah teknikal yang berlaku di situ malam tadi dan memaklumkan bahawa perkhidmatan kereta api di situ akan disambung semula 1 tengah hari, hari ini.

Berita berkaitan

Lebih 150 pengunjung terkandas, kereta api rosak

966 pengunjung terkandas dibawa turun

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 1:03 PM