PENGUNJUNG Bukit Bendera yang terkandas selepas kereta api mengalami kerosakan.
PENGUNJUNG Bukit Bendera yang terkandas selepas kereta api mengalami kerosakan.
Shamsul Munir Safini


LEBIH 150 pengunjung Bukit Bendera, Georgetown, berjaya diselamatkan pihak berkuasa kira-kira jam 12 tengah malam tadi selepas terperangkap di Middle Station kawasan pelancongan itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.26 malam memaklumkan kejadian.

Katanya, lebih 150 pengunjung dilaporkan terkandas di situ selepas kereta api bukit bendera mengalami rosak ekoran masalah teknikal.

Menurutnya, usaha membaik pulih kerosakan kereta api gagal disiapkan sebelum pihak pengurusan dan pihak berkuasa mengambil keputusan untuk membawa kesemua yang terkandas menggunakan pacuan empat roda melalui Taman Botani.

“Sebaik tiba di taman itu, mereka yang terkandas akan dibawa menaiki bas ke Lower Station,” katanya.

Menurutnya, proses itu mengambil masa lebih dua jam dan kesemua mereka berjaya dibawa turun jam 12 tengah malam tadi.

Petang tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’atlyatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama rombongan meluangkan masa melawat ke Bukit Bendera sempena lawatan rasminya ke Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 1:13 AM