KETUA Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan (kiri) menunjukkan ketulan emas palsu yang dirampas dalam serbuan itu.
KETUA Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan (kiri) menunjukkan ketulan emas palsu yang dirampas dalam serbuan itu.
Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT lelaki warga China ditahan selepas menjual ketulan emas palsu dalam dua serbuan berasingan di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang ejen hartanah berusia 31 tahun yang memaklumkan membeli 48 ketulan emas (yuanbao) seberat lima kilogram dari China, semalam.

“Mangsa memberitahu dia berurusan dengan seorang lelaki warga China yang dikenali melalui aplikasi WeChat.

“Mangsa kemudian membuat pembayaran kepada suspek secara tunai berjumlah RM100,000 untuk 48 ketulan emas berkenaan di pusat beli belah di Puchong kira-kira 12 tengah hari, semalam.

“Bagaimanapun, pemeriksaan dilakukan mangsa di sebuah kedai emas di Kepong, Kuala Lumpur mendapati ketulan emas berkenaan adalah palsu sebelum dia membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

Ismadi berkata, berdasarkan laporan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah hotel di Jalan Tun Sambhatan, Kuala Lumpur jam 4 petang, semalam.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki warga China masing-masing berusia 52 dan 56 tahun.

“Hasil soal siasat dilakukan, kami membuat satu lagi serbuan di sebuah kedai menjual aksesori elektronik berhampiran hotel berkenaan.

“Serbuan kedua pula membawa kepada penahanan dua beranak warga China berusia 53 dan 25 tahun yang juga pemilik kedai yang menerima wang RM100,000 daripada suspek untuk kiriman ke akaun di China,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM100,000, 111 ketulan emas yuanbao dipercayai palsu, lapan telefon bimbit dan satu gergaji disyaki digunakan untuk memotong ketulan besi disadur emas berkenaan.

“Siasatan awal mendapati dua suspek utama yang menjual ketulan emas palsu berkenaan datang ke negara ini pada 11 Julai lalu.

“Bungkusan emas palsu terbabit dikirim melalui kurier dari Hong Kong ke Malaysia.

“Hasil penahanan ini, kami berjaya menyelesaikan kes berkenaan kurang dari tempoh 24 jam laporan polis dibuat,” katanya.

Katanya, semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 11 Ogos nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran penjualan emas yang menawarkan harga tidak munasabah oleh individu tidak dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:34 PM