ISMADI (tengah) pada sidang media mengenai rampasan dadah. Gambar kecil) Dadah dan wang tunai yang dirampas.
ISMADI (tengah) pada sidang media mengenai rampasan dadah. Gambar kecil) Dadah dan wang tunai yang dirampas.
Mohd Azam Shah Yaacob dan Mohd Sharul Nazri Mohd Zulkifli Chow


KEGIATAN dua wanita warga asing serta lelaki tempatan yang aktif mengedar dadah sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu akhirnya tumpas selepas ditahan polis, malam tadi.

Ketiga-tiganya berusia 24 tahun hingga 39 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang 11.45 malam di parkir sebuah apartment di Puchong, Selangor ketika sedang menjalankan urus niaga jual beli dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, ketika ditahan, ketiga-tiga suspek baru turun dari kereta Honda CRV dinaiki bagi membuat serahan.

Katanya, anggota BSJN diketuai Inspektor Mohd Amel Husny Mohd Supian yang mengekori kenderaan berkenaan kemudian menahan mereka yang ketika itu sedang memegang beberapa bungkusan mengandungi dadah.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek termasuk dalam kenderaan serta bungkusan yang dipegang, polis menemui sebanyak 1,890 pil ekstasi anggaran berat 677 gram, 200 pil erimin 5 seberat 62.8 gram dan ketamin seberat 45.03 gram.

“Kesemua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM100,000 bagi diedarkan di sekitar Lembah Klang termasuk pusat hiburan,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, hari ini.

Ismadi berkata, polis turut merampas dua kereta digunakan suspek iaitu sebuah Honda CRV berwarna putih dan Audi Q7 berwarna hitam serta wang tunai berjumlah RM1,080.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki berkenaan mempunyai dua rekod jenayah dan dadah, manakala dua wanita warga asing berkenaan pula tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Hasil risikan, ketiga-tiga suspek ini memperoleh bekalan dadah berkenaan dari satu kumpulan pengedaran dadah di Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 1:32 PM