Siti A’isyah Sukaimi


“SAYA pun rasa risau, kadang-kadang lebih daripada risau. Kenapa mutakhir ini ada trend sebegini yang timbul,” tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai isu abu mayat Chin Peng dan perjumpaan bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah dewan di Kajang, semalam.

Berikutan itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, keturunan serta latar belakang supaya menghormati kepelbagaian masyarakat di negara ini.

“Apakah negara kita sudah matang dari segi demokrasi, nak buat apa suka. Siapa nak menunjukkan perasaan tertentu boleh buat sebegitu atau pun ada kesan yang lain.

“Sebagai menteri bertanggungjawab (saya) nak menentukan negara ini kekal aman, sejahtera, tiada pergolakan dan perkara yang boleh menimbulkan perasaan tidak baik dalam kalangan rakyat,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Hari Imigresen 2019, hari ini.

MUHYIDDIN ketika sidang media Majlis Sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MUHYIDDIN ketika sidang media Majlis Sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Semalam, Harian Metro melaporkan, hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas PKM mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang.

Perjumpaan jam 10.15 pagi itu sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Ditanya mengenai perhimpunan itu, Muhyiddin berkata, pihaknya sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cawangan Khas melakukan siasatan dan akan menunggu laporan penuh sebelum tindakan diambil.

“Kita sudah minta polis dan Cawangan Khas menyiasat latar belakang bagaimana perhimpunan itu diadakan. Ia dibuat secara terbuka atau tertutup, perlukah mereka memaklumkan kepada pihak berkuasa, itu peraturan sedia ada.

“Jadi kita akan tunggu laporan itu sebelum sebarang tindakan wajar yang boleh diambil. Yang saya baca tak pernah berlaku (perhimpunan), saya baca daripada laporan awaklah (media).

“Soal berbangkit, pihak polis akan siasat apa tujuan sebenarnya, adakah ada kaitan hanya nak meraikan Perjanjian Damai Haytai atau ini usaha untuk menghidupkan semangat komunisme yang lampau atau apa tujuannya,” katanya.

Mengenai jangkaan laporan siasatan berkenaan siap sepenuhnya, beliau berkata, ia tidak mengambil masa sehingga berbulan dan hanya beberapa hari saja selain berharap dapat diperolehi dalam minggu ini.

“Setiap satu perkara yang berlaku, serta-merta PDRM dan agensi di bawah kementerian ini buat siasatan. Kita tidak tunggu seminggu atau sebulan tetapi serta-merta.

“Jika kita biarkan sehari atau dua hari, macam-macam boleh berlaku. Rakyat Malaysia ini membaca pelbagai laporan dan dia nak tahu hakikat sebenar dan tak nak cerita bohong atau berita palsu tetapi dia nak tahu apa sebab dan bagaimana,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada bekas PKM boleh mengadakan pertemuan sebegitu, Muhyiddin berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang bebas merdeka.

“Yang perlu kita fikirkan sama ada dalam situasi negara orang kata aman merdeka seperti ini, elokkah kita bangkitkan semangat sebegitu yang kesannya mungkin tidak berapa baik.

“Saya baca banyak maklum balas netizen mempersoalkannya tetapi ada juga kata, biarlah dia nak buat begitu. Jadi kita nak tengok sebagai pihak agensi penguatkuasaan, adakah dia melakukan kesalahan.

“Wajarkah dia buat begitu, yang baik mungkin nasihat sajalah. Tak payahlah dah lama (kejadian) itu apa nak ingat lagi. Nak ingat zaman perang, bergaduh, susah dan berbunuh. Kita tunggu laporan siasatan dulu,” katanya.

Berita berkaitan

Hadir atas dasar peribadi - ADUN Sungai Pelek

400 termasuk bekas ahli PKM bertemu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 12:22 PM