Siti Nurul Syafiqah.
Siti Nurul Syafiqah.
Hazira Ahmad Zaidi


REMAJA perempuan di Machang, yang menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala, Siti Nurul Syafiqah Hassan meninggal dunia, tengah malam tadi.

Siti Nurul Syafiqah, 13, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya, pada 12.27 tengah malam.

Lebih memilukan, kematian Siti Nurul Syafiqah selepas 32 hari ibunya, Rosnani Mohamad, 41, meninggal dunia pada 26 Oktober lalu akibat sesak nafas.

Kakak sulung arwah, Zubaidah Hassan, 45, berkata sejak dua hari lalu Syafiqah tidak boleh makan dan minum kerana terdapat ulser selain batuk.

“Malam tadi keadaannya semakin tenat dan semua ahli keluarga terdekat termasuk saudara-mara berada bersama arwah sebelum dia menghembus nafas terakhir.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan tidak sanggup melihat dia terus menderita menanggung kesakitan terutamanya apabila diserang penyakit sawan,” kata ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, jenazah Siti Nurul Syafiqah akan dikebumikan pada jam 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kampung Pangkal Kerdas. Machang, bersebelahan dengan pusara arwah ibunya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Siti Nurul Syafiqah disahkan menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala ketika berusia tujuh bulan.

Disebabkan penyakit itu, Syafiqah terlantar dan tidak mampu bergerak bebas seperti remaja lain seusianya.

Sebelum ini, Zubaidah mengambil alih tanggungjawab menjaga Siti Nurul Syafiqah selepas mereka kematian ibu.

Berita berkaitan

'Kami tak mampu jaga Syafiqah macam arwah ibu'

Sedia jaga Nurul Syafiqah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 9:02 AM