SITI Nurul Syafiqah hanya mampu terbaring selepas menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala sejak kecil. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SITI Nurul Syafiqah hanya mampu terbaring selepas menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala sejak kecil. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


PUSAT Jagaan Kenangan Hajjah Rahmah menyatakan kesanggupan untuk mengambil alih menjaga Siti Nurul Syafiqah Hassan, 13, yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala, selepas kematian ibunya pada 26 Oktober lalu.

Pengurusnya, Datin Shahzayati Che Hassan berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) untuk menguruskan hak penjagaan remaja berkenaan.

Katanya, atas dasar kemanusiaan, pihaknya sanggup menjaga serta merawat Syafiqah memandangkan keadaan remaja itu yang memerlukan rawatan yang lebih rapi.

“Sebelum ini, tidak ada ahli keluarganya yang menyatakan kesanggupan untuk meneruskan menjaga Syafiqah selepas kematian ibunya, Rosnani Mohamad, 41, dan kami juga sedang mendapatkan kebenaran daripada ahli keluarganya.

“Disebabkan keadaan Syafiqah yang terlantar ia memerlukan penjaga khusus oleh penjaga yang benar-benar terlatih.

“Dalam masa sama, pihak kami juga akan membuka ruang kepada mana-mana NGO yang turut bersimpati dengan keadaan Syafiqah dan boleh membantu menyumbang keperluannya seperti lampin pakai buang serta kos perubatan lain,” katanya ketika ditemui selepas Program Tautan Kasih, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Siti Nurul Syafiqah yang disahkan menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala ketika dia berusia tujuh bulan dijaga dan diuruskan sepenuhnya oleh arwah ibunya.

Disebabkan penyakit dihidapi menyebabkan Syafiqah terlantar serta tidak mampu bergerak bebas seperti remaja lain seusianya.

Sebelum ini, arwah Rosnani menjaga Syafiqah bersama suami keduanya, Osman Kasim, 62, sejak empat tahun lalu selepas kematian arwah suaminya yang terdahulu pada 2012 disebabkan penyakit paru-paru berair.

Sementara itu, Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, pihaknya mengalu-alukan kesanggupan pusat jagaan itu untuk menjaga serta menguruskan Syafiqah selagi pusat itu berdaftar dan mengikut undang-undang.

“Bagaimanapun, pada masa ini, remaja berkenaan tinggal bersama kakaknya dan jika mereka ingin meneruskan penjagaan terhadap Syafiqah, pihak kami akan mempertimbangkan bantuan tambahan bagi meringankan beban ahli keluarga yang menjaganya dan masih mempunyai tanggungan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 6:30 AM