Anggota BBP Subang Jaya serta Hazmat BBP Shah Alam membersihkan tumpahan bahan kimia dari sebuah lori kontena yang terbalik di Lebuhraya Kewajipan dekat Subang Jaya di sini, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Anggota BBP Subang Jaya serta Hazmat BBP Shah Alam membersihkan tumpahan bahan kimia dari sebuah lori kontena yang terbalik di Lebuhraya Kewajipan dekat Subang Jaya di sini, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim

Subang: Bomba mengambil masa tujuh jam bagi membersihkan tumpahan bahan kimia daripada sebuah lori yang terbalik dalam kemalangan di Lebuhraya Kewajipan dekat Subang Jaya di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 9.16 malam.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Shah Alam membabitkan kekuatan 13 anggota dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, pemeriksaan mendapati lori kontena 20 tan terbalik di sisi jalan dan berlaku tumpahan bahan kimia jenis Pengkakis (Virukill).

"Operasi bermula 9.22 malam dengan tindakan awal anggota membuat semburan air dari bekalan tangki jentera bomba.

"Pasukan Hazmat kemudian menabur soda di sekitar kawasan terkena bahan kimia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan terakhir adalah anggota membuat semburan air sekali lagi di kawasan berkenaan bagi memastikan bersih dan tiada sisa bahan kimia.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 4 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 10:19 AM