MANGSA terhidu gas beracun diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA terhidu gas beracun diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Lelaki tidak sedarkan diri, manakala empat rakan sekerjanya selamat selepas terhidu gas beracun dipercayai daripada tong berisi ikan yang busuk di sebuah jeti di Sepanggar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.10 malam itu, Jirol Carumpi, 23, ditemukan tidak sedarkan diri, manakala empat lagi mangsa berusia antara 19 hingga 39 tahun, selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian, sepasukan anggota dan pegawai bomba termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi, pasukan Hazmat lengkap tidak mengesan apa-apa bahan kimia.

"Terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit dikeluarkan oleh pasukan Hazmat. Seorang daripada mangsa tidak sedarkan diri dan diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Empat lagi selamat dan turut dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua mangsa terhidu gas beracun berpunca daripada sebuah tong berisi ikan yang busuk.

"Operasi ditamatkan pada 10.08 malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 7:48 AM