SEBAHAGIAN produk daging babi yang dirampas.
SEBAHAGIAN produk daging babi yang dirampas.
Syaherah Mustafa


RANTAU PANJANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 50 kilogram (kg) produk daging babi di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, Jumaat lalu.

Pengarahnya Mohd Azam Yahya berkata, dalam operasi jam 12 tengah hari itu anggotanya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40-an.

“Hasil pemeriksaan membawa penemuan 50kg daging babi dianggarkan bernilai RM1,000 diletakkan dalam but kenderaan itu. Pemandunya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kami percaya daging itu dibawa masuk dari negara jiran, Thailand, secara tidak sah untuk pasaran tempatan.

“Tindakan mengimport produk haiwan tanpa permit import dan melanggar syarat import adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya. ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, arahan larangan import produk babi dikeluarkan kerajaan bagi mengelak penyebaran wabak African Swine Fever (ASF).

“Antara negara yang banyak mengimport daging berasaskan babi termasuk China, Poland, Belgium dan Thailand.

“Pihak MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan tiada kemasukan daging atau produk babi yang tidak mematuhi prosedur pengimportan ke dalam negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang memasuki negara dan mematuhi syarat ditetapkan kerajaan,” katanya.

PEGAWAI Maqis Kelantan menunjukkan sebahagian produk daging babi yang dirampas.
PEGAWAI Maqis Kelantan menunjukkan sebahagian produk daging babi yang dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 5:40 AM