PRODUK babi berkenaan. FOTO Ihsan MAQIS
PRODUK babi berkenaan. FOTO Ihsan MAQIS
Syaherah Mustafa


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 30 kilogram produk berasaskan daging babi tanpa permit sah bernilai RM5,000 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di Kota Bharu, semalam.

Pengarah MAQIS Negeri Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, dalam pemeriksaan 12.30 tengah hari itu, pihaknya memeriksa 10 individu warga Singapura sebelum menemui daging terbabit dipercayai untuk sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, mereka mengaburi pihak berkuasa dengan membungkus dan membalut produk babi dengan pembalut plastik yang kemudian diisi di dalam bagasi masing-masing.

“Hasil kecekapan anggota bertugas yang sentiasa peka, tindakan mereka dapat dikesan menggunakan mesin pengimbas. Malah, kemasukan produk berasaskan daging babi ini memang tinggi terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

“Kesemua produk terbabit untuk kegunaan sendiri dan tidak mempunyai permit import yang sah yang dikeluarkan oleh MAQIS semasa kemasukan. Selain itu, ia tidak mempunyai sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara asal.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, seperti mana diperuntukkan pada Seksyen 11(1) akta sama.

Mohd Azam berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan arahan larangan pengimportan produk babi daripada 13 negara iaitu China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland, Belgium, Kemboja, Hong Kong, Myanmar, Laos, Korea, Filipina dan Indonesia sebagai langkah pencegahan penyebaran virus demam babi Afrika (ASF).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 9:43 AM