Amaran cuaca waspada di Pantai Timur mulai esok. FOTO Arkib NSTP
Amaran cuaca waspada di Pantai Timur mulai esok. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

JABATAN Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning bagi hampir keseluruhan kawasan di Kelantan, Terengganu dan beberapa daerah di Pahang berikutan luruan angin timur di rantau negara bermula esok yang dijangka boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon berkata, kawasan yang terbabit di Pahang ialah daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Berikutan luruan angin itu, angin kencang dengan kelajuan antara 40 sehingga 50 kilometer sejam (km/jam) dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri terbabit dan amaran cuaca itu dikeluarkan berkuatkuasa dari 25 hingga 27 November ini.

Selain itu, kenaikan paras air laut dijangka berlaku berikutan kejadian air pasang dalam tempoh berkenaan.

Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan, berikutan keadaan cuaca buruk di Pantai Timur dijangka semakin berkurangan, amaran cuaca buruk peringkat jingga yang dikeluarkan pada 2 petang, 22 November lalu untuk Terengganu (daerah Kemaman) dan Pahang (daerah Kuantan, Pekan dan Rompin) diturun taraf kepada amaran waspada peringkat kuning manakala untuk Johor ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:55 PM