FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk (peringkat jingga) dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga esok.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, dalam kenyataan. hari ini, berkata amaran cuaca waspada (kuning) turut dikeluarkan bagi beberapa daerah lain di dua negeri terbabit serta di Kelantan dan Terengganu bagi tempoh sama.

Menurutnya, amaran cuaca peringkat jingga membabitkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Segamat dan Mersing di Johor, manakala amaran peringkat kuning meliputi daerah Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang serta seluruh Kelantan dan Terengganu.

"Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

"Pada masa sama, kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

"Keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur tidak kukuh," katanya.

Jailan berkata, angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dalam tempoh berkenaan.

Keadaan itu katanya, boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 8:34 AM