NELAYAN yang diperiksa dalam  operasi APMM dan AADK di tengah laut.
NELAYAN yang diperiksa dalam operasi APMM dan AADK di tengah laut.
Hadzlihady Hassan


LALOK atas bot. Itu dilakukan oleh kumpulan 15 nelayan yang mengambil dadah kononnya untuk memberi tenaga tambahan kepada mereka ketika bekerja di tengah laut.

Selain itu, mereka menyangka perbuatan menghisap dadah di laut itu tidak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, telahan itu ternyata silap apabila semua nelayan itu ditahan dalam operasi bersepadu dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri.

Dalam operasi sembilan jam bermula jam 7 pagi kelmarin di perairan Pulau Pinang itu, 154 nelayan diperiksa.

Pengarah APMM negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, daripada semua nelayan yang diperiksa itu, 15 nelayan ditahan kerana positif dadah.

“Nelayan yang ditahan itu adalah 13 lelaki warga tempatan, dua lagi warga Thailand dan Indonesia.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka yang berusia 26 hingga 50 tahun itu positif ganja, methamphetamine dan morfin,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Operasi dilakukan secara berterusan bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya diperairan Pulau Pinang.

“Orang awam diminta bekerjasama melaporkan kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146/ 04-2643650,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:05 AM