Bot bersama tujuh nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, di Tanjung Bungah, di sini, kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan. FOTO IHSAN APMM
Bot bersama tujuh nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, di Tanjung Bungah, di sini, kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan. FOTO IHSAN APMM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan tujuh nelayan tempatan bersama bot kerana menggunakan peralatan menangkap ikan tidak dilesenkan, di sini, tengah malam tadi.

Mereka ditahan pada kedudukan 0.2 batu nautika di timur laut Tanjung Bungah sekitar 12.40 tengah malam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, ketika ditahan, nelayan terbabit sedang menangkap ikan menggunakan pukat lohong iaitu peralatan tidak dibenarkan Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan terbabit berpangkalan di Bakau Tua, Penaga, di sini.

"Bot itu dikendalikan tujuh kru lelaki rakyat tempatan berusia antara 18 hingga 34 tahun.

"Bot dan nelayan terbabit ditahan dan dibawa ke ibu pejabat APMM Pulau Pinang sebelum diserah kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan komuniti nelayan supaya mematuhi peraturan menangkap ikan yang termaktub di dalam buku lesen dan tidak menyalahi undang-undang sedia ada.

Orang ramai yang mempunyai sebarang laporan kecemasan atau kemalangan di laut, boleh hubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 1:15 PM