Hadzlihady Hassan


TINDAKAN sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 menangkap ikan dengan menceroboh kawasan Zon A mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, pemilik bot nelayan berkenaan sanggup menunda dalam gelap demi mengaut keuntungan berganda di kawasan larangan sebelum ditahan di kedudukan kira-kira 2.0 batu nautika dari barat Pulau Rimau.

Pengarah Maritim negeri Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, hasil pemeriksaan, tiga lelaki masing-masing seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan berusia 26 hingga 34 tahun berada dalam bot terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 8 batu nautika dari daratan terhampir.

“Bot berkenaan bersama satu gulung pukat tunda, dua besi tunda dan hasil tangkapan kira-kira 200 kilogram ikan campur dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan lanjut.

“Tindakan bot nelayan berkenaan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang kemalangan di laut kerana tidak menyalakan lampu,” katanya.

Menurutnya, orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam, MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 1:40 PM
BOT nelayan tempatan yang ditahan selepas menangkap ikan serta ceroboh kawasan Zon A di kedudukan 2.0 batu nautika dari barat Pulau Rimau. FOTO ihsan APMM.
BOT nelayan tempatan yang ditahan selepas menangkap ikan serta ceroboh kawasan Zon A di kedudukan 2.0 batu nautika dari barat Pulau Rimau. FOTO ihsan APMM.