Mohd Shah memberikan makanan kepada 10 ekor kucing jalanan di Taman Sri Jaya, Renggam, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Mohd Shah memberikan makanan kepada 10 ekor kucing jalanan di Taman Sri Jaya, Renggam, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


WALAUPUN berbelanja hampir RM30 sehari untuk membeli makanan kucing, namun rezekinya tidak pernah putus malah tiada sebarang masalah untuk memberi makan kepada lebih 50 ekor si bulus setiap hari.

Mohd Shah Jumat, 58, berkata, dia menggunakan sebahagian gajinya sebagai kakitangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membeli makanan kucing setiap petang selepas pulang dari kerja.

Katanya, semua kucing yang diberikan makanan adalah kucing jalanan dibuang orang yang menjadikan warung, pasar awam atau masjid sebagai tempat berteduh.

“Saya mula terpanggil memberikan makanan kepada kucing-kucing ini sejak 10 tahun lalu selepas mengutip kucing di jalan raya dan membawanya pulang ke rumah.

“Malah kini hampir 20 kucing buangan dibela di rumah manakala selebihnya di warung dan Masjid Taman Sri Jaya, Renggam selain tempat kerja di MPOB Kluang,” katanya ketika ditemui memberi makanan kepada 10 kucing di warung Taman Sri Jaya, Renggam Kluang hari ini.

Menurutnya, setiap kali dia datang ke warung itu semua kucing berkenaan bagaikan mengenalinya apatah lagi apabila melihat dia membawa bungkusan plastik yang membawa makanan.

“Walaupun berhabis hampir RM1,000 sebulan, saya merasakan rezeki tidak berkurangan malah sentiasa cukup untuk menampung keperluan dapur dan harian keluarga.

“Inilah rahmatnya menyayangi dan memberikan makanan kepada kucing dan saya rasa kesal jika melihat haiwan itu diseksa atau dianiaya seseorang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 1:51 AM