Abd Samat menunjukkan buku nota kecil yang mempunyai butir peribadi salah seekor kucingnya yang mempunyai cop pengesahan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kulim di Taman Kenari, Kulim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Abd Samat menunjukkan buku nota kecil yang mempunyai butir peribadi salah seekor kucingnya yang mempunyai cop pengesahan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kulim di Taman Kenari, Kulim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Kucing ada 'kad pengenalan'. Itu keunikan tersendiri 20 kucing yang dipelihara seorang lelaki warga emas apabila dia mencatat setiap butir peribadi haiwan berkenaan dalam buku nota kecil.

Bermula daripada nama, tarikh serta lokasi ditemui, sakit dan mendapatkan rawatan hingga ke mati semua butiran terbabit akan ditulis Abd Samat L Salleh, 66, dalam buku nota kecil sejak 2015.

Pesara tentera yang ditemui di rumahnya di Taman Kenari, dekat sini, mengambil insentif berkenaan bagi memudahkannya merekod apa sahaja yang berlaku kepada kucing peliharaannya.

Malah, tindakannya itu turut mendapat pujian setiap kali dia membawa kucingnya mendapatkan rawatan atau merujuk ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kulim dan buku notanya itu akan dicop pengesahan jabatan terbabit.

Abd Samat berkata, dia merekod segala butir dalam buku nota kecil terbabit sejak 2015 dan ketika itu sebanyak 60 ekor kucing sudah dipeliharanya.

Namun, daripada 60 ekor itu, kini kucingnya hanya tinggal 20 ekor kerana ada antaranya sudah mati selain diberikan kepada ahli keluarga lain.

"Saya memperuntukkan RM2,000 sebulan untuk membeli makanan dan juga kos sampingan lain bagi memastikan kucing dipelihara sentiasa sihat.

"Hampir 70 peratus duit pencen selain gaji isteri yang bekerja di sebuah kilang digunakan untuk keperluan kucing peliharaan namun saya tidak kisah asalkan semua haiwan kesayangan ini sihat," katanya.

Abd Samat menguruskan sebahagian kucingnya di rumahnya di Taman Kenari, Kulim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Abd Samat menguruskan sebahagian kucingnya di rumahnya di Taman Kenari, Kulim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Menurutnya, semua 20 kucing yang dianggap sebagai anak-anaknya itu mempunyai perangai tersendiri dengan ada antara haiwan terbabit kuat merajuk, pandai mengurut, mendengar cakap dan menonton televisyen.

"Saya membahasakan diri sebagai 'abah' dan ada antara kucing-kucing ini akan mendengar cakap setiap kali saya memberi arahan contohnya akan masuk sangkar, mengurut dan pelbagai lagi sekiranya disuruh.

"Ada juga yang kuat merajuk dan kucing-kucing ini akan buat perangai dengan hanya berdiam dalam sangkar sekiranya tidak suka orang luar datang untuk melihat mereka," katanya.

Menurutnya, dia akan memperuntukkan waktu selama sejam untuk memberi makan serta membersihkan badan dan sangkar kucing-kucingnya pada setiap pagi.

"Rutin saya memberi tumpuan pada kucing-kucing ini bermula jam 11 pagi manakala untuk malam pula saya menghabiskan masa selama satu jam setengah bermula jam 9 malam.

"Masa untuk malam agak lama kerana saya perlu menyiapkan 'pendingin hawa' untuk mereka tidur," katanya yang menggunakan kain dicelup air bagi memberi keselesaan kepada haiwan peliharaanya itu tidur.

Bagi mengelak sangkar berbau, Abd Samat hanya menggunakan surat khabar untuk haiwan dipeliharanya itu membuang najis sekali gus memudahkan kerja mencuci dilakukan selain turut memberi makanan berkualiti kepada semua kucingnya.

Kerana terlalu obses dengan kucing juga membuatkan dia turut memotong keratan akhbar yang mempunyai kaitan dengan haiwan terbabit sebelum menampalnya di atas kad manila.

Abd Samat menguruskan sebahagian kucingnya di rumahnya di Taman Kenari, Kulim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Abd Samat menguruskan sebahagian kucingnya di rumahnya di Taman Kenari, Kulim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 4:23 PM