WAJAH comel Puteh (kiri) dan Manja.
WAJAH comel Puteh (kiri) dan Manja.
Hafiz Ithnin


BENARLAH apabila mempunyai sifat sayang kepada 'si bulus' tidak kira daripada baka atau jenisnya, si peminatnya akan menjadikannya sebagai haiwan kesayangan.

Meskipun terdapat segelintir individu yang hanya melihat baka tempatan sebagai kucing biasa tetapi bagi peminat kucing, semua baka kucing tidak perlu di anak tirikan.

Lebih menarik, peminat tegar kucing akan memberikan perlindungan dan pemakanan terbaik untuk kucing kesayangan mereka tanpa mengira baka.

Bagi Rosnizam Hamad, dia percaya dengan penjagaan yang baik kucing jalanan yang dilihat biasa mampu menjadi menarik setanding baka yang dijual sesetengah pihak dengan harga yang begitu tinggi.

"Saya sudah membela kucing jalanan kira-kira lapan tahun lalu dan memiliki lebih 20 ekor. Bagaimanapun, saya perlu berpindah menyebabkan saya memberi beberapa ekor kucing kepada rakan-rakan yang benar-benar menyayangi haiwan itu.

"Kini saya hanya mempunyai enam ekor sahaja kucing peliharaan yang terdiri daripada baka tempatan dan campuran. Semuanya adalah kucing jalanan yang pada asalnya datang meminta makanan di rumah saya," katanya.

Rosnizam berkata, dia memberikan makanan yang premium kepada semua kucing peliharaannya sejak dahulu lagi kerana melihat diet antara faktor utama kesihatan si bulus itu.

"Saya tidak memberi makanan yang tidak berkualiti kerana ia tidak bagus untuk kesihatan terutama bulu akan gugur dan boleh merosakkan organ dalamannya.

BILIK khas dibina untuk kucing perliharaan.
BILIK khas dibina untuk kucing perliharaan.

ORKID.
ORKID.

TANJUNG.
TANJUNG.

"Jadi saya akan pastikan semua kucing peliharaan saya mendapat diet yang premium kerana saya tidak mahu haiwan itu jatuh sakit dan semestinya kos perubatan kucing agak tinggi," katanya.

Jelasnya, dia membelanjakan hampir RM400 sebulan untuk membeli makanan, pasir dan turut memperuntukkan wang kecemasan buat enam haiwan kesayangannya yang diberi nama timangan Oren, Puteh, Manja, Orkid, Puteh dan Tanjung itu.

"Semua kucing saya sudah pun 'disunatkan' kerana saya tidak mahu ia membiak dengan lebih banyak. Bagi saya langkah ini lebih baik supaya dapat memberi perhatian yang penuh kepada semua haiwan itu.

"Malah, kucing yang saya berikan kepada rakan-rakan sebelum ini pun sudah pun saya 'sunatkan' dan memberi suntikan vaksin," katanya.

Jelasnya, dia juga mempunyai bilik khas di bahagian dapur untuk memberi keselesaan kucing-kucing kesayangannya bergerak bebas di dalam ruang itu berbanding diletakkan di dalam sangkar.

"Saya menyambung ruang di belakang rumah untuk dijadikan bilik khas kucing peliharaan memandangkan saya tidak suka melihat haiwan itu berada di dalam keadaan terkurung di dalam ruang yang kecil seperti di dalam sangkar.

"Selain itu, saya juga sudah menganggap Oren, Puteh, Manja, Orkid, Puteh dan Tanjung sebagai anak sendiri yang perlu dilindungi dan tidak mahu haiwan ini merayap di luar rumah kerana khuatir mengenai keselamatannya," katanya.

Rosnizam berkata, kepuasan menjaga dan memiliki kucing sudah pasti kerana tabiat haiwan itu yang pelbagai, menjadi terapi dan penghibur di dalam rumah.

"Apabila pulang dari kerja misalnya, melihat kucing-kucing peliharaan ini menjadikan saya tenang dan terhibur dengan gelagat masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 6:43 AM