FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


MASYARAKAT dilihat tersalah faham dalam memahami pemberian wang zakat kepada orang bukan Islam seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sejak 2017.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, fatwa berkenaan diputuskan selepas mengambil kira pendapat dalam kalangan ahli fekah dan bukannya fatwa rekaan yang baharu.

“Kitab-kitab fekah sejak dahulu sudah menyebut perkara ini dan paling mudah di zaman ini boleh dibaca adalah kitab Fiqh al-Zakah karangan Dr Yusof al-Qaradawi, beliau juga antara yang menyokong pendapat berkenaan (pemberian wang zakat kepada orang bukan Islam).

“Malah penentuan kadar zakat dan siapa yang berhak menerimanya adalah ditentukan oleh Ulil Amri atau pemerintah yang mengurus zakat dan bukan ditentukan oleh pihak bukan Islam.

“Pastinya Ulil Amri itu hendaklah bijak dalam urus tadbir pembahagian, maka sepatutnya tidak perlu ada kerisauan dalam hal ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook (FB) semalam.

Sebelum ini, dalam satu kuliah khas Mohd Asri di Masjid Alwi, Kangar, beliau memberitahu, Perlis antara negeri yang meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf ‘muallafah qulubuhum’ iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Mohd Asri dipetik berkata, golongan bukan Muslim layak menerima bantuan berkenaan atas syarat yang ditentukan oleh Ulil Amri atau pemerintah.

Mengulas mengenai tujuan pemberian zakat terbabit kepada masyarakat bukan Islam, Mohd Asri berkata, ia adalah untuk melembutkan jiwa orang bukan Islam kepada ajaran Islam yang baik dan harmoni selain sebagai agenda dakwah.

“Ini hakikatnya satu dakwah yang berkesan dan zakat itu bukan sahaja dijelmakan dalam bentuk wang, malah boleh juga dalam bentuk makanan, bantuan ubatan dan seumpamanya.

“Contohnya, apabila pihak pengurusan zakat membantu mangsa banjir atau kebakaran, mungkin dalam kalangan mereka terdapat orang bukan Islam, amatlah tidak wajar jika mangsa yang Muslim menerima makanan atau bantuan sedangkan mangsa bukan Islam pula tidak diberikan makanan atau bantuan yang sama.

“Ia memberi persepsi yang buruk terhadap Islam dan tidak mencerminkan sifat Islam yang merahmati semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat bukan Islam di Malaysia bukan hanya terdiri daripada bangsa Cina atau India sahaja, malah ada banyak lagi kaum seperti Siam, Dayak, Iban, Orang Asal dan seumpamanya.

“Maka jangan kita anggap semua mereka sama seperti kaum yang sudah kaya sehingga tidak perlu keprihatinan kita yang ada kelebihan.

“Malah bukan semua duit zakat adalah untuk diberikan pada fakir miskin, fakir dan miskin hanya dua daripada lapan golongan yang layak.

“Wang zakat juga ‘amilin’ zakat, untuk mualaf (golongan yang baru muslim atau masih kafir yang mahu jinakkan jiwa mereka), untuk hamba yang mahu ditebus bayarannya, untuk yang parah berhutang, untuk jalan Allah dan untuk yang terputus perjalanan,” katanya.

Katanya, perkara terbabit perlu difahami dengan baik kerana ramai yang kurang pengetahuan dengan menganggap zakat hanya untuk fakir dan miskin sahaja.

Berita berkaitan

Perlis lulus fatwa zakat untuk bukan Muslim

'Bantu asnaf Muslim dulu' - Mufti Perak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 10:33 AM