Asrol Awang


Kuantan: Remaja terkilan kerana gagal menyelamatkan bapanya selepas kediaman mereka di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, di sini, terbakar, malam tadi.

Muhammad Aqil Afif Mohd Asri, 13 berkata, bahang haba kesan daripada kebakaran menyebabkannya sukar untuk membantu bapanya, Mohd Asri Idris, 39 keluar dari rumah itu.

Katanya, sebelum itu. dia sempat membantu adik ketiganya, Muhammad Aqid Aisy, 8 keluar menyelamatkan diri.

"Memang terkilan tetapi reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abang ipar mangsa, Mohd Nasir Mohd Amin, 57 berkata, ketika kejadian, dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa.

Katanya, ketika itu, rumah adik iparnya marak terbakar dan keadaan berbahang.

"Kali terakhir saya bertemu Allahyarham kelmarin, dan tiada sebarang perubahan kecuali Allahyarham menasihati saya supaya berhati-hati ketika memanjat atap kerana bimbang terjatuh.

"Pada masa sama, Allahyarham baru sahaja menyiapkan dinding pagar di rumah saya termasuk mengecat" katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketika kejadian, enam orang berada di rumah terbabit yang dipercayai kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam.

Katanya, selepas operasi pemadaman, anggota bomba menemui mangsa dalam keadaan melecur dan tidak sedarkan diri dalam bilik air bahagian dapur.

"Pihak paramedik dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Dalam kejadian itu, seorang anak ketiga mangsa melecur dan dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, lima yang terselamat ialah isteri mangsa, Nor Atikah Adnan, 39 serta empat anak iaitu Muhammad Aqil Afif, 13; Muhammad Aqif Zahin, 10; Muhammad Aqid Aisy, 8; dan Muhammad Aniq Rizqi, 4.

Beliau berkata, punca kebakaran rumah itu masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Berita berkaitan:

  • Bapa maut, anak melecur
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 12:38 PM
    MUHAMMAD Aqil Afif Mohd Asri, 13, (kiri) dan adiknya, Muhammad Aqif Zahin, 10 tahun. FOTO Asrol Awang
    MUHAMMAD Aqil Afif Mohd Asri, 13, (kiri) dan adiknya, Muhammad Aqif Zahin, 10 tahun. FOTO Asrol Awang