BERNAMA

Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan di Balai Polis Senai, dekat sini awal pagi tadi, selepas dipercayai membuat laporan polis palsu berhubung kes samun membabitkan dirinya.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Razak Said berkata suspek ditahan sebaik dia membuat pengakuan hari ini ketika disoal siasat polis.

Menurut beliau, laporan palsu itu dibuat suspek di balai polis itu kira-kira 5 pagi, mendakwa disamun tiga lelaki bersenjatakan parang ketika sedang berniaga di sebuah gerai di tepi jalan.

"Bagaimanapun, berdasarkan soal siasat, polis mendapati kejadian samun itu tidak berlaku.

"Sebaliknya, pengadu membuat laporan palsu kerana dia menggunakan wang hasil perniagaan untuk membantu ibunya membayar hutang di kampung," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Razak, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kulai esok, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, orang ramai perlu tahu mengenai kesalahan membuat laporan palsu adalah kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 10:27 PM