Idris Musa

SIDANG Dewan Rakyat, hari ini ditangguhkan beberapa minit apabila Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020.

Insiden mengejutkan ahli dewan itu berlaku pada 3 petang dan Mansor segera diberi bantuan kecemasan.

Beberapa minit kemudian, Ahli Parlimen itu dilihat dibawa keluar dewan untuk rawatan susulan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming ketika meneruskan semula persidangan meminta ahli dewan berdoa supaya Mansor pulih.

“Sebelum kita teruskan perbahasan marilah kita berdoa supaya Yang Berhormat Nibong Tebal kembali sihat dan cergas, dapat melaksanakan amanah sebagai wakil Rakyat.

“Dan saya juga nasihatkan seluruh anggota dewan pastikan cukup tidur, minum air, (dan) jangan bahas panjang-panjang sampai larut malam.

“Kesihatan wajib kita jaga bersama, kerana ini bukan insiden pertama. Dulu Yang Berhormat Sepang. Semoga cepat sembuh dan sihat sentiasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 4:17 PM