LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Mohd Husni Mohd Noor


TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Eddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berada di sidang Dewan Rakyat bagi sesi jawab lisan mewakili Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Beliau mengadu sesak nafas ketika sesi jawab lisan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Berikutan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon menangguhkan sidang selama 10 minit bagi memberi ruang kepada pegawai perubatan untuk merawat Eddin.

Beliau kemudian di bawa keluar dari dewan dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan ke klinik Parlimen untuk mendapat rawatan awal sambil diiringi Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii yang juga seorang doktor perubatan.

Sidang kembali bersambung kira-kira jam 10.43 pagi.

Rashid memaklumkan, beliau meminta semua ahli dewan supaya bertenang dan mendoakan semoga Eddin Syazlee sihat walafiat.

“Saya minta semua bertenang dan doakan agar beliau sihat walafiat,” katanya.

Menceritakan lanjut kejadian itu, Dr Kelvin berkata, beliau diminta oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Amiruddin Hamzah untuk datang segera dan melihat keadaan kesihatan Eddin Syazlee.

“YB Amiruddin bagi signal (isyarat) kepada saya supaya lihat Eddin. Dia (Eddin) tidak pengsan tapi mengadu tegang di bahagian dada sambil tangan menekap bahagian dada.

“Saya difahamkan dia (Eddin) ada rekod sakit jantung dan kali pertama diserang penyakit itu di Parlimen. Saya juga dengar dia kerja banyak dan tidak cukup rehat terutama sepanjang minggu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Piai,” katanya.

Katanya, beliau menasihatkan setiap ahli Parlimen supaya menjaga kesihatan termasuk kerap menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

Dr Kelvin berkata, setiap ahli Parlimen perlu menjaga kesihatan bagi membolehkan terus berkhidmat dengan baik kepada rakyat.

Selain itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi Dewan Rakyat mencadangkan kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad supaya mengaturkan sesi pemeriksaan kesihatan kepada 222 ahli Parlimen susulan insiden berkenaan.

“Saya lihat rata-rata setiap ahli Parlimen kerja sangat rajin sehingga lupa menjaga kesihatan masing-masing...justeru, saya harap Kementerian Kesihatan dapat mempertimbangkan cadangan itu,” katanya.

Menjawab pertanyaan itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan perkara itu khususnya sebagai persediaan untuk setiap ahli Parlimen.

“Perkara (cadangan) itu sedang dipertimbangkan, saya juga sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenainya,” katanya.

Pada 21 Oktober lalu, Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat sebelum di bawa ke IJN untuk mendapat rawatan lanjut.

Berita berkaitan

Dewan Rakyat: Eddin Syazlee pengsan ketika sesi soal jawab [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 1:09 PM