Eddin Syazlee menerima kunjungan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim. FOTO Ihsan Datuk Nasarudin Mahmud
Eddin Syazlee menerima kunjungan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim. FOTO Ihsan Datuk Nasarudin Mahmud
Faliq Lajim


TIGA ahli parlimen Pakatan Harapan yang dilaporkan tidak sihat sebelum ini dalam proses pemulihan.

Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nasarudin Mahmud berkata, Eddin Syazlee Shith (PH-Kuala Pilah) masih di rawat di Institusi Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

“Keadaan beliau semakin pulih berikutan sakitnya itu tidak serius. Hanya disebabkan oleh ‘water retention’ dan tidak cukup rehat saja.

“Insya-Allah esok sudah boleh keluar IJN. Saya dimaklumkan dia mahu terus bekerja dan akan berada di Dewan Rakyat Isnin ini,” katanya.

Semalam Eddin Syazlee dikejarkan ke IJN selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas pada sesi soal jawab lisan di parlimen.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Anuar Tahir (PH-Temerloh) yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan semakin pulih.

Keadaan Mohd Anuar yang juga Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) itu dimaklumkan Ketua Pemuda parti terbabit, Mohd Sany Hamzan.

“Alhamdulillah keadaan beliau (Mohd Anuar) semakin pulih dan sedang dirawat di HKL.

“Beliau masih mendapatkan rawatan di situ bagi memastikan keadaan kesihatannya benar-benar pulih,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman yang rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat 21 Oktober lalu sudah mula bertugas seperti biasa.

“Saya sudah mula bertugas dan ketika ini sudah berada di parlimen,” katanya ringkas melalui aplikasi Whatsapp.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan bagi semua ahli parlimen dan perbincangan sudah dibuat dengan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkara itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mencadangkan pemeriksaan kesihatan dilakukan 222 ahli parlimen.

Berita berkaitan

[UPDATE] Eddin Syazlee stabil

[UPDATE] Eddin Syazlee dibawa ke IJN

Dewan Rakyat: Eddin Syazlee pengsan ketika sesi soal jawab [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:48 PM