Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Lima daripada 17 pejabat Education Malaysia di luar negara dicadang ditutup berikutan pelaksanaan rasionalisasi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman menjelaskan tindakan itu bagi mengurangkan pertindihan peranan serta tanggungjawab dalam mewujudkan sektor awam yang dinamik.

Beliau berkata, pejabat Education Malaysia terbabit penutupan di Chicago dan Los Angeles, Amerika Syarikat; Ho Chi Minh City, Vietnam; Perth, Australi; dan New Zealand.

"Bagi memperhalusi rancangan rasionalisasi, beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan pemegang taruh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Luar sudah diadakan.

"Hasilnya, satu cadangan rasionalisasi Pejabat Education Malaysia dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dibentang kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Penubuhan Pemindaan dan Penutupan Pejabat Kerajaan di luar negeri pada 6 Januari 2020.

"Jawatankuasa itu juga mencadangkan agar resonalisasi ini dilaksanakan secara inklusif. Buat masa ini pejabat rasionalisasi sedang dikaji dan diperhalusi secara menyeluruh di peringkat pusat," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mansor (Bersatu-Nibong Tebal) berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam)yang bertanyakan status semasa rasionalisasi pejabat Education Malaysia di luar negara.

Beliau turut menjawab pertanyaan tambahan Maszlee mengenai perancangan antarabangsa Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menarik minat pelabur luar negara.

Mansor berkata, pihaknya sentiasa memandang serius dan melaksanakan pelbagai inisatif dalam melaksanakan perkara itu.

"Kementerian ambil perhatian perkara itu khususnya sekarang kerajaan beri fokus utama pendidikan tinggi melalui Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sebagai industri yang mampu meningkatkan pendapatan negara.

"Justeru, usaha promosi dilaksanakan bersama-sama IPTS dan universiti awam untuk mendapatkan pelajar dari luar negera di samping tingkatkan mutu dan kualiti penyampaian pembelajaran di universiti tempatan seperti mana yang diusahakan oleh Yang Berhormat Simpang Renggam dahulu," katanya.

MANSOR memberi penjelasan di Dewan Rakyat.
MANSOR memberi penjelasan di Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 1:10 PM