MAYAT mangsa di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT mangsa di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman

LELAKI maut selepas ditimpa pokok rumbia yang ditebangnya di Kampung Tok Salam, Kubang Kenyeng, Naka di Padang Terap, semalam.

Kejadian pada 5.50 petang itu mengakibatkan mangsa, Mohd Zainuddin Md Zain, 40, meninggal dunia di lokasi selepas mengalami luka parah.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, sebelum kejadian, mangsa melakukan kerja menebang pokok berkenaan bersama seorang rakan.

“Dipercayai semasa pokok hendak tumbang, mangsa cuba melarikan diri namun kakinya tersangkut pada akar menyebabkan mangsa terjatuh dan terus dihempap pokok rumbia yang tumbang.

“Pokok itu kemudian menghempap mangsa separuh badan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Nerang oleh pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noh berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan kes masih dalam siasatan.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:50 AM