Kemalangan mengorbankan dua lelaki di Kilometer 16.2 Jalan Kuala Nerang - Pedu, Padang Terap semalam. FOTO ihsan pembaca
Kemalangan mengorbankan dua lelaki di Kilometer 16.2 Jalan Kuala Nerang - Pedu, Padang Terap semalam. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli


DUA maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan di Kilometer 16.2 Jalan Kuala Nerang - Pedu, Padang Terap semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Noh Idris berkata, kejadian berlaku pada 7.20 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menunggang motosikal dari arah Kota Putra menghala ke Pedu.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian berhampiran lampu isyarat Pedu, penunggang motosikal yang berada di hadapan, Nor Hisham Mustafa, 25, dipercayai membuat pusingan U secara mengejut.

"Akibatnya seorang lagi penunggang, Mohamad Aiman Mohd Yusuf, 15, gagal mengelak dan terlanggar motosikal di hadapan menyebabkan kedua-duanya parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Noh berkata, siasatan awal juga mendapati Nor Hisham yang berasal dari Kampung Tong Plu, Mukim Pedu dan Mohamad Aiman dari Kampung Lebai Saman, Mukim Tekai Kiri, Naka tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

Katanya, bedah siasat ke atas mayat mangsa dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Nor Hisham bekerja sendiri manakala Mohamad Aiman adalah pelajar sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 11:10 AM