Kakitangan Utusan Melayu meninggalkan pejabat berikutan penutupan operasi syarikat itu hari ini. FOTO Mustaffa Kamal
Kakitangan Utusan Melayu meninggalkan pejabat berikutan penutupan operasi syarikat itu hari ini. FOTO Mustaffa Kamal
BERNAMA

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), bersedia membantu lebih 800 kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang terbabit dengan penutupan syarikat itu hari ini.

PERKESO sudahpun mengadakan sesi taklimat dengan Utusan Melayu pada 28 September lalu mengenai bantuan yang disediakan kerajaan melalui SIP.

Pekerja yang terbabit akan menerima bantuan kewangan segera dengan kadar 80 hingga 30 peratus daripada gaji yang diinsuranskan bagi tempoh antara 3 hingga 6 bulan.

Sebagai contoh, pekerja yang bergaji RM4,000 akan menerima bantuan RM3,160 bagi bulan pertama, RM1,975 bagi bulan kedua dan bulan seterusnya pada kadar menurun.

Sebelum ini, pada Disember 2018, 551 pekerja yang terbabit dengan penamatan pekerjaan dari Utusan Melayu dan anak syarikat yang berkaitan menerima bantuan kewangan melalui skim itu dan sebahagiannya sudah kembali bekerja.

PERKESO juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) yang mempunyai 60 ahli aktif untuk membantu menempatkan pekerja yang terbabit bagi mengisi kekosongan di pelbagai bidang seperti pereka grafik, juruteknik percetakan dan operator mesin.

Pekerja Utusan Melayu yang memerlukan kemahiran baru dalam mana-mana bidang yang mereka minat atau diperlukan majikan, PERKESO akan menguruskan program latihan dengan penyedia latihan berdaftar yang mana kos latihan ditanggung SIP manakala pekerja mengikuti latihan dibayar elaun menjalani latihan RM10 hingga RM20 sehari.

Bagi pekerja yang belum mengemukakan permohonan, boleh berbuat demikian dalam talian di https://eis.perkeso.gov.my/eisportal atau hadir ke mana-mana pejabat PERKESO berdekatan.

Berita berkaitan

'Kami masih keliru' [METROTV]

Kumpulan Utusan Melayu berkubur hari ini?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 7:00 PM