ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Mohammed Arsyad Md Yassin


Kuala Kangsar : Seorang lelaki maut apabila lori yang dipandu hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 250.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Chua Beng Lim, 39, meninggal dunia di tempat kejadian dan ditemui tersepit dalam kenderaannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Khairil Anuar Shaharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.30 pagi dan tiba ke lokasi lima minit kemudian.

"Setibanya di lokasi kejadian anggota mendapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah lori dan treler dan mangsa ditemui tersepit dan sudah meninggal dunia.

"Operasi mengeluarkan mangsa tersepit dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemandu dan kelindan treler tidak mengalami kecederaan dan operasi tamat pada jam 2.41 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:36 AM