MAIMUNAH menunjukkan  Opak-Opak yang dijemur  di kediamannya di Kampung Jawa, Segamat.
MAIMUNAH menunjukkan Opak-Opak yang dijemur di kediamannya di Kampung Jawa, Segamat.
Ahmad Ismail

my

SEGAMAT: Satu ketika dulu, opak-opak sering dijadikan makanan ruji, bahkan sifatnya yang tahan lama menyebabkan menu tradisi itu menjadi stok simpanan ketika musim banjir.

Kekurangan makanan turut menjadikan masyarakat dahulu kreatif dalam mempelbagaikan ubi kayu selain digunakan waktu perintah berkurung ketika darurat.

Tidak mahu hidangan tradisi itu berkubur, Mbah (nenek) Maimunah Pairin, 68, meneruskan resipi pembuatan opak-opak yang diwarisi secara turun-temurun daripada nenek moyangnya.

Jika dulu, garam diletakkan sebagai penambah perisa, namun kini produk opak-opak dihasilkan divariasikan termasuk tambahan ramuan udang kering bagi membangkitkan selera ketika menikmatinya.

Berkongsi makanan ruji opak-opak, ia mengimbau nostalgia zaman kanak-kanaknya dan menjadi inspirasi kepadanya memvariasikan opak-opak.

Kata Mbah Maimunah, opak-opak dihasilkan daripada bahan berasaskan ubi kayu bersama tepung ubi.

“Opak-opak boleh disimpan lama dan sering diletak di bahagian atas para-para di dapur rumah nenek. Ia dimakan ketika kami terputus hubungan akibat banjir atau perintah berkurung (zaman darurat).

“Opak-opak ringan dan mudah dibawa dan dijadikan kudapan ketika memancing selain dijadikan buah tangan ketika mengunjungi kediaman saudara ketika itu,” katanya ditemui di kediamannya di Kampung Jawa di sini.

Katanya, kekurangan makanan sebelum kemerdekaan tercapai menyebabkan penduduk kampung menanam ubi kayu untuk dijadikan makanan utama.

“Bagi mempelbagaikan hidangan, mereka menghasilkan makanan tahan lama umpamanya opak-opak, selain tanaman padi,” katanya.

Menurut Mbah Maimunah, opak-opak yang terhasil daripada ubi parut diadun bersama tepung ubi sebelum dihasilkan secara kepingan nipis seperti lempeng.

“Ia dijemur hingga kering sebelum digoreng. Ia rangup dan enak dimakan.

“Kebetulan suami, Kasman Ramin, 72, menanam pokok ubi kayu di sekitar kediaman dan menambahkan lagi minat saya untuk menghasilkan opak-opak sejak beberapa bulan lalu walaupun secara kecil-kecilan,” katanya.

Setiap keping opak-opak itu dijual pada harga RM1.50 hingga RM1.80 bergantung kepada saiz serta berat.

“Arwah ibu, Fatimah Marsan berpesan supaya jangan pinggirkan makanan tradisi ini,” katanya yang dibantu anak dan cucu bagi pemasaran opak-opak di laman sosial.

“Opak-opak dahulu dihasilkan 100 peratus menggunakan ubi kayu dan sedikit garam bagi mengimbangi rasa payau.

“Kini, saya menambah sedikit udang kering bagi menambah keenakannya namun tidak menghilangkan rasa aslinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:50 AM