OMAR (tengah) melihat ubat dari China yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
OMAR (tengah) melihat ubat dari China yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga


UBAT-UBATAN buatan negara China dianggarkan mencecah RM15.6 juta yang dipercayai diseludup masuk dirampas, Ahad lalu.

Semua ubat-ubatan berkenaan tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikhuatiri memberi kesan sampingan kepada kesihatan pengguna.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, rampasan dilakukan dalam serbuan ke premis tanpa nama di Sri Kemajuan, Inanam, hasil aduan awam.

Katanya, polis turut menahan 12 individu berusia 21 hingga 65 tahun termasuk seorang wanita untuk siasatan kerana disyaki memiliki dan menjual ubat-ubatan seludup.

“Hasil serbuan ini, polis berjaya merampas 240,000 botol ubat-ubatan pelbagai jenis dan jenama yang diseludup masuk tanpa kebenaran KKM.

“Ketika serbuan, pemilik premis gagal mengemukakan lesen dan dokumen berkaitan termasuk borang pengisytiharan cukai dan surat kebenaran daripada KKM,”katanya pada sidang media di Stor Barang Kes Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Omar berkata, hasil siasatan mendapati semua barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui Sarawak sebelum dihantar ke daerah Kota Kinabaluuntuk pasaran tempatan.

Katanya, polis turut merampas dua lori dan sebuah van disyaki digunakan untuk mengangkut ubat-ubatan berkenaan bersama wang tunai berjumlah RM9,205.

“Semua suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 7 (1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952,”katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 2:29 PM