PEGAWAI KKM menahan doktor palsu terbabit untuk siasatan lanjut. FOTO Azhar Mat Ganti
PEGAWAI KKM menahan doktor palsu terbabit untuk siasatan lanjut. FOTO Azhar Mat Ganti
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


BERMULA daripada hanya tukang cuci di negara ini, seorang lelaki warga Bangladesh dikesan memperdaya ribuan pesakit dengan menyamar sebagai doktor haram di ibu kota.

Lelaki berusia 60-an itu sangat dikehendaki Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akhirnya ditahan Ahad lalu selepas kerap melarikan diri dalam beberapa siri serbuan sejak tahun lalu.

Difahamkan suspek yang menyamar sebagai doktor menggunakan bilik kecil di dalam kedai runcit di Jalan Silang di sini, sebagai markas kliniknya.

Jurucakap KKM berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati lelaki warga asing itu memasuki negara ini menggunakan permit pekerja pembersihan sebelum berkahwin dengan wanita tempatan.

PEGAWAI Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui ubat-ubatan haram. FOTO Azhar Mat Ganti
PEGAWAI Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui ubat-ubatan haram. FOTO Azhar Mat Ganti

“Dia menyamar sebagai doktor tanpa tauliah dan turut terbabit menjual ubat-ubatan tidak berdaftar di negara ini.

“Hasil serbuan dilakukan jam 2 petang itu, pegawai Bahagian Penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya turut menemui pelbagai produk dan ubat-ubatan seludup yang disembunyikan di atas siling klinik haram itu.

“Suspek turut menyorokkan ubat-ubatan haram di dalam stor dan kedai runcit berkenaan yang turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Berdasarkan maklumat, suspek menggunakan khidmat beberapa rakan senegara untuk menyeludup masuk ubat-ubatan tidak berdaftar itu ke negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pihaknya merampas produk dan ubat-ubatan berjumlah RM180,000 hasil serbuan terhadap klinik milik lelaki warga asing itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 6:00 AM