GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Aizat Shamsuddin


PAS sedia turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai walaupun siapa saja calon yang akan diletakkan oleh Barisan Nasional (BN) termasuk daripada MCA.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata, PAS sudah menyerahkan kepada UMNO dan rakan dalam BN untuk menentukan calon kerana Parlimen Tanjung Piai adalah kawasan tradisi BN.

“Kita akan turun walaupun siapa saja mereka letak calon. PAS akan buktikan kerjasama politik yang dijalinkan dengan UMNO,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Marang, hari ini.

Abdul Hadi berkata, PRK Parlimen Tanjung Piai bukan cabaran besar buat barisan pembangkang kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, BN hanya kalah tipis kepada calon Pakatan Harapan (PH).

“InsyaAllah, dengan perkembangan politik terkini peluang terbaik untuk kita (menang) berbanding PH,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menerima calon berusia 18 tahun untuk bertanding dalam PRK Tanjung Piai kali ini, beliau mengalu-alukan calon muda untuk turut sama dalam PRK itu nanti.

Katanya, selain ketokohan, calon muda perlulah mempunyai ilmu dan integriti.

“Ketokohan ini tidak terikat dengan umur. Ada yang umur muda, tetapi bijaksana. Kalau usia tua namun tiada kebijaksanaan, ia tiada apa-apa erti.

“Selain itu, ilmu dan integriti juga perlu diambil kira. Dua sifat ini penting dan InsyaAllah, jika menang boleh jadi pemimpin,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi 21 September lalu.

Dr Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi terbabit pada PRU-14.

Beliau menang dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 6:46 PM