PELACUR Vietnam yang ditahan malam tadi. FOTO ihsan polis
PELACUR Vietnam yang ditahan malam tadi. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


KEGIATAN pusat pelacuran menawarkan khidmat seks warga Vietnam sejak enam tahun lalu di Jalan Bandar 19, Pusat Bandar Puchong terbongkar selepas diserbu polis malam tadi.

Anggota Unit Pencegahan Maksiat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman yang menerima maklumat berhubung kegiatan premis terbabit menyerbunya jam 10.10 malam dan menahan 20 wanita warga Vietnam berusia 19 hingga 32 tahun.

Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, seorang wanita warga Vietnam berusia 17 tahun turut diselamatkan selepas dijadikan pelacur di premis itu.

Katanya, empat lelaki tempatan berusia 31 hingga 58 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penjaga premis bersama tiga pekerja lelaki warga Myanmar berusia 20 hingga 28 tahun turut ditahan.

“Premis ini menjalankan kegiatan pelacuran dengan menawarkan khidmat seks sebanyak RM160 bagi setiap sesi.

“Ia sudah beroperasi sejak enam tahun lalu dengan menyediakan ruang pameran wanita di tingkat satu untuk pelanggan memilih,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi terbabit.

Mohd Hedzir berkata, selepas pelacur dipilih, pelanggan dibawa ke bilik disediakan di tingkat satu dan dua.

“Laluan masuk melalui pintu jeriji hanya dibuka oleh penjaga premis menggunakan alat kawalan yang dipasang pada meja kaunter.

“Pergerakan pelanggan turut dipantau dengan kamera litar tertutup (CCTV). Ketika serbuan terdapat sembilan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 33 kondom, minyak urut, minyak pelincir, tuala, kertas jadual kerja pelacur, telefon bimbit, dekoder CCTV dan wang tunai RM1,567 dirampas.

“Semua tangkapan dan mangsa yang diselamatkan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963,” katanya.

Menurutnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1963 dan Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 9:40 AM