Antara wanita warga asing yang ditahan dan (gambar kanan) kondom dan beberapa barangan untuk aktiviti pelacuran yang ditemui dalam serbuan di Jalan Gajah, Pudu dan Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Antara wanita warga asing yang ditahan dan (gambar kanan) kondom dan beberapa barangan untuk aktiviti pelacuran yang ditemui dalam serbuan di Jalan Gajah, Pudu dan Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Mohd Azam Shah Yaacob


TIGA premis yang menawarkan pakej layanan seks di Jalan Gajah, Pudu dan Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur diserbu Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman semalam.

Serbuan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat premis berkenaan sering menjadi tumpuan lelaki bagi mendapatkan khidmat seks di hotel murah terbabit.

Hasil serbuan pada 11.40 malam itu, seramai 25 wanita warga asing dan empat lelaki tempatan berusia 23 hingga 47 tahun yang bekerja dengan sindiket berkenaan berjaya ditahan.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, berdasarkan maklumat premis itu menawarkan khidmat seks wanita warga asing dengan harga bermula RM60 hingga RM80.

Menurutnya, pelacur yang ditawarkan pula terdiri daripada wanita warga Vietnam dan Indonesia.

“Ketiga-tiga premis yang diserbu itu didapati tidak mempunyai sebarang lesen operasi perniagaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, 25 pelacur yang ditahan itu membabitkan 16 wanita Vietnam dan sembilan wanita Indonesia.

Katanya, kesemua mereka termasuk empat lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 372 dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan (KK) kerana menawar serta menjalankan kegiatan persundalan.

“Selain itu, mereka juga didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1963 serta Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 10:13 PM