Imej kebakaran yang dikesan di Indonesia dirakam satelit MODIS dan VIIRS.
Imej kebakaran yang dikesan di Indonesia dirakam satelit MODIS dan VIIRS.
Mahaizura Abd Malik


LAMAN Web Global Forest Watch Fires mendedahkan terdapat 31,367 kebakaran berlaku di Indonesia yang direkodkan dari 8 hingga 15 September lalu.

Data terbabit diperolehi daripada Maklumat Kebakaran Untuk Sistem Pengurusan Sumber (FIRMS) Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) menerusi pengesanan satelit MODIS dan VIIRS.

Data itu turut menunjukkan 369 kebakaran berlaku dalam Malaysia.

Sementara itu, analisis data satelit Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) merekodkan bilangan titik panas terkini di Sumatera ialah 274 dan 305 di Kalimantan manakala bilangan titik panas tiada direkodkan di Malaysia.

Setakat 6 petang tadi, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) di empat kawasan masih lagi berada pada paras sangat tidak sihat.

Kawasan terjejas ialah Putrajaya dengan bacaan IPU 204 diikuti Johan Setia Klang (226) manakala dua lagi di Sarawak membabitkan Sri Aman (208) dan Kuching (229).

Sementara itu, 28 kawasan lain mengalami kualiti udara tidak sihat menurun berbanding 31 yang direkodkan pada jam 8 pagi tadi.

Kawasan terjejas itu adalah Batu Muda (124) dan Cheras (162) manakala lima lagi kawasan di Selangor iaitu Kuala Selangor (132), Petaling Jaya (164), Shah Alam (183), Klang (175) dan Banting (162).

Di Negeri Sembilan kawasan terjejas membabitkan Nilai (170), Seremban (129), Port Dickson (143), tiga di Melaka membabitkan Alor Gajah (127), Bukit Rambai (139) serta Bandaraya Melaka (140) manakala di Johor - Segamat (103) dan Tangkak (120).

Di sebelah pantai timur, kawasan terjejas adalah Temerloh (130), Jerantut (104), Indera Mahkota Kuantan (131), Balok Baru Kuantan (108) serta Kemaman (111).

Sabah menunjukkan IPU tidak sihat di Sandakan (105) manakala lapan lagi kawasan di Sarawak - ILP Miri (122),Miri (124), Samalaju (126) diikuti Bintulu (141), Mukah (140), Sibu (137), Sarikei (148) dan Samarahan (193).

Data keseluruhan menunjukkan kawasan yang mencatatkan paras bacaan IPU sederhana meningkat daripada 21 yang dilaporkan pagi tadi kepada 28, petang ini.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 1:08 AM