Irwan Shafrizan Ismail


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan akan mengkaji semula dan membuat penambahbaikan prosedur pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan.

JPN dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia bagi memastikan tiada ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, pihaknya akan memastikan proses pengeluaran dokumen sentiasa dibuat secara teratur dan mengikut peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959.

“JPN mengulangi pendirian tegas bahawa tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai dan kakitangan yang terbabit dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah.

“JPN tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan kakitangan jabatan yang didapati terbabit dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Tambah kenyataan itu, JPN sudah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan mereka.

“Siasatan dalaman di peringkat JPN juga sedang dijalankan bagi memastikan tiada kes seumpama ini berlaku lagi,” katanya.

Hari ini, enam individu berusia dalam lingkungan 30 ke 60-an dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad dan dokumen pengenalan diri kepada warga asing.

Mereka didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 466 Kanun Keseksaan.

Kejayaan polis dan jabatan kerajaan lain membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China yang didalangi seorang pegawai JPN negeri.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia membuat laporan polis berikutan permohonan seorang wanita warga asing yang cuba memohon pasport negara ini dengan mengemuka MyKad sah, namun tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, Mei lalu.

Polis melalui operasi khas berjaya membongkar sindiket berkenaan yang dikatakan mengaut keuntungan antara RM100,000 hingga RM600,000 hasil jualan MyKad berkenaan kepada warga asing.

Berita berkaitan:

  • Jual MyKad: Enam didakwa [METROTV]
  • Senyuman bongkar rahsia
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:16 PM