Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) sedang melakukan siasatan dalaman bagi memastikan tiada kes berhubung pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara penipuan berleluasa.

JPN dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, memaklumkan pihaknya juga akan mengkaji semula serta menambah baik prosedur pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan bagi memastikan tiada ruang penyelewengan serta salah guna kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Merujuk kepada kes pendakwaan seorang pegawai JPN atas tuduhan aktiviti mengeluarkan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara penipuan di Pulau Pinang, JPN mengulangi pendirian tegas bahawa jabatan ini tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai serta kakitangan yang terbabit dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah.

“JPN tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan kakitangan jabatan yang didapati terbabit dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JPN memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan mereka.

“JPN akan memastikan proses pengeluaran dokumen sentiasa dibuat secara teratur dan mengikut peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959,” katanya.

Berita berkaitan

Pegawai kerajaan jual MyKad

20 individu ditahan kes jual MyKad

Jual MyKad: Enam didakwa [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:24 PM