FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hadzlihady Hassan


BOSAN dan rasa menyusahkan suami kerana berhenti kerja membuatkan seorang wanita terjun tingkat 21, Pangsapuri Halaman Kristal, Lengkok Free School, di Georgetown semalam.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, wanita berusia 54 tahun terbabit maut selepas parah di kepala dan seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan mendapati wanita itu menunggang motosikal menuju ke pangsapuri terbabit yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

“Mangsa meninggalkan motosikalnya di luar dan dia masuk ke pangsapuri terbabit sebelum terus menuju ke tingkat 21 bangunan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dia terjun dari tingkat 21 dan badannya terhempas di koridor tingkat lima sebelum terjatuh di atas jalan,” katanya.

Che Zaimani berkata, hasil siasatan lanjut, suami mangsa yang berusia 56 tahun mendakwa isterinya itu mengalami tekanan perasaan sejak tiga tahun lalu dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Suaminya memberitahu mangsa sebelum ini bekerja sambilan menjual baju di butik, namun sudah berhenti sejak hampir enam bulan lalu.

“Sejak itu, wanita berkenaan kerap merungut kepada suaminya yang dia sangat bosan dan rasa menyusahkan semua orang kerana tidak bekerja,” katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit sudah berkahwin sejak 30 tahun lalu, namun tidak mempunyai anak dan suami mangsa mendakwa mereka tidak bergaduh pada hari kejadian.

“Suami mangsa memberitahu dia kali terakhir melihat isterinya itu sebelum keluar ke tempat kerja pada 9.15 pagi dan mendakwa wanita terbabit hanya berdiam diri serta kelihatan muram.

“Mangsa beberapa minggu sebelum ini pernah memberitahu sudah tidak mahu hidup kepada suaminya, namun dipujuk lelaki terbabit yang mengatakan dia tidak kisah jika wanita itu tidak bekerja kerana dia akan memberi wang belanja harian,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 1:07 PM