WAN Nur Shahirah (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama keluarga ketika Aidilfitri 2017. FOTO ihsan Wan Nur Shahirah Wan Yahya
WAN Nur Shahirah (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama keluarga ketika Aidilfitri 2017. FOTO ihsan Wan Nur Shahirah Wan Yahya
Alias Abd Rani


“AWAL Januari lalu, ayah meninggal dunia sebab pendarahan dalam kepala, bulan tujuh (Julai) giliran abang meninggal akibat kanser.

“Pada 2015, kakak meninggal dunia, hari ini tinggal saya berdua dengan emak. Hampir setiap hari emak menangis dan sebut pasal mati. Moga emak panjang umur dan sihat sentiasa. Amin.”

Status ditulis Wan Nur Shahirah Wan Yahya, 23, menyentuh perasaan tatkala mengenang perjalanan hidup keluarganya yang satu persatu dipanggil mengadap Ilahi.

Bayangkan, suatu ketika dulu, keluarga itu cukup meriah terutama ketika menyambut Aidilfitri dengan gelak tawa serta senyuman yang tidak lekang antara satu sama lain.

Tapi bagi Wan Nur Shahirah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik, semua itu hanya tinggal kenangan dan kehidupan dia bersama ibunya, Wan Eshah Wan Ibrahim, 56, seolah-olah sepi.

“Kami hanya tiga beradik, tapi Allah menjemput kakak terlebih dulu akibat talasemia. Empat tahun kemudian, ayah pula pergi dan terbaru awal Julai lalu, abang mengikut jejak mereka.

“Daripada lima beranak, kini tinggal kami berdua. Yang paling terasa adalah emak, kadang-kadang saya pergi kerja dan dia berseorangan di rumah.

“Emak selalu bersuara dia teringat ke ayah dan anak-anak. Paling sedih dia pernah sebut ‘mok nok mati doh’ (emak hendak meninggal).

“Paling terasa bila hari raya. Saya sendiri terkesan dengan situasi ini dan pernah juga terlintas ayah masih ada di rumah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Status dimuat naik Wan Nur Shahirah Wan Yahya mendapat simpati ramai netizen yang turut memberi semangat kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:23 PM