KEADAAN motosikal dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN motosikal dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad


SUAMI isteri maut, manakala anak mereka parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar lari di Kilometer 99.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 11.50 malam, Jamaludin Musa, 51, dan isterinya, Rapidah Ahmad@Abdullah, 46, dari Pekan Langgar, Alor Setar, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak pasangan itu, Muhammad A’tiqullah, 9, yang parah menerima rawatan zon merah di wad kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, di Sungai Petani.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah, berkata, dalam kejadian itu, motosikal Yamaha 135LC yang dinaiki mangsa dirempuh sebuah lori sebelum kenderaan itu melarikan diri.

“Kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki tiga beranak itu dipercayai secara tiba-tiba mengubah laluan dari lorong susur kiri ke lorong kiri.

“Ekoran itu, lori terbabit gagal mengelak lalu berlaku perlanggaran sebelum kenderaan itu menggilis suami isteri berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, akibat kemalangan itu, suami isteri terbabit maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan.

Anak mereka patah pada tangan kanan dan kaki kiri serta cedera pada dalaman kepala.

Beliau berkata, usaha mengesan pemandu lori dan kenderaan itu masih giat dijalankan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:26 AM