Jamaludin dan isteri yang maut dilanggar lari malam tadi. FOTO Nor Farhani Che Ad
Jamaludin dan isteri yang maut dilanggar lari malam tadi. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


“MALAM kelmarin, mama cakap esok (semalam) ayah, mama dengan adik nak pergi jauh.

“Apabila saya tanya, mama kata nak ziarah sepupu ayah meninggal dunia.

“Bila dapat tahu mereka terbabit kemalangan, baru saya sedar kata-kata mama itu seolah-olah dia tahu yang dia dan ayah akan meninggalkan kami adik beradik,” kata Nura’fifatul Akmal Jamaludin, 17.

Nura’fifatul Akmal adalah anak ketiga pasangan Jamaludin Musa, 51, dan isterinya, Rapidah Ahmad@Abdullah, 46, yang maut selepas dilanggar lari lori di Kilometer 99.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara dekat Sungai Petani malam tadi.

Anak bongsu pasangan itu, Muhammad A’tiqullah, 9, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Tiga beranak itu menaiki motosikal dan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pekan Langgar, Alor Setar dari Sungai Petani.

Nura’fifatul Akmal berkata, dia dimaklumkan abangnya Muhammad Taqiuddin, 21, ibu bapa serta adik mereka ada berjumpa dengan abangnya itu di Bakar Arang, Sungai Petani selepas menziarahi kematian sepupu bapa mereka di Pantai Prai, Sungai Petani.

“Selepas berjumpa abang, ayah kata nak pergi rumah Cik Ipi, adik arwah ayah di Bandar Perdana.

“Mereka kemudian bertolak pulang ke Alor Setar 10.30 malam tadi,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, hari ini.

Jenazah Jamaludin dan isterinya dibawa keluar dari bilik jenazah HSAH untuk dibawa pulang ke Kampung Banggol Kiat, Sik untuk dikebumikan. FOTO Nor Farhani Che Ad
Jenazah Jamaludin dan isterinya dibawa keluar dari bilik jenazah HSAH untuk dibawa pulang ke Kampung Banggol Kiat, Sik untuk dikebumikan. FOTO Nor Farhani Che Ad

Katanya, dia dimaklumkan kemalangan itu 3.30 pagi tadi sebelum dibawa saudara mara ke HSAH.

“Awalnya saya ingat mama dengan ayah hanya cedera sebab saya dibawa ke wad kecemasan HSAH.

“Namun saya terkejut apabila ayah saudara cakap mahu balik Sik buat urusan pengebumian, baru saya tahu mama dan ayah sudah meninggal dunia, hanya adik bongsu saja cedera,” katanya.

Difahamkan sehingga kini, tiada laporan polis dibuat pemandu lori yang melanggar mangsa dan gerakan mengesannya masih dijalankan.

Berita berkaitan

Suami isteri maut dilanggar lari

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 12:08 PM