DUA bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas menceroboh dan menangkap ikan di perairan Kemaman, kelmarin. FOTO Rosli Ilham.
DUA bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas menceroboh dan menangkap ikan di perairan Kemaman, kelmarin. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


NELAYAN Vietnam terus rakus menceroboh dan merompak hasil laut negara apabila memperoleh empat tan hasil laut hanya dalam beberapa hari.

Bagaimanapun, dua bot nelayan terdiri daripada 17 nelayan termasuk dua tekong berusia 20 hingga 53 tahun gagal membawa hasil tangkapan itu ke negara mereka selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, dua bot itu ditahan pada jarak 132 dan 134 batu nautika dari Timur Laut Kuala Kemaman pada 9.30 pagi dan 11.15 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui 2,000 kilogram (kg) ikan campur dan 2,000kg ikan baja, 2,000 liter minyak diesel, peralatan menangkap ikan dan bot dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.7 juta.

“Daripada jumlah bekalan diesel masih banyak itu, kami percaya kedua-dua bot itu baru beberapa hari menceroboh perairan negara dan memperoleh jumlah tangkapan yang banyak.

“Semua nelayan dan bot mereka dibawa masuk ke Jeti APMM Kemaman pada 2.35 petang semalam untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Kemaman di Chukai, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Sebanyak 1,639 pemeriksaan membabitkan 96 tangkapan dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa lain dalam Ops Naga Barat Siri 1/2019 sejak 26 April lalu.

“Operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan bagi melindungi hasil laut dan khazanah negara daripada dirompak nelayan asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 9:05 PM