RASHIDILHADI (kanan) menunjukkan sebahagian ikan dirampas selepas menahan dua bot nelayan Vietnam di Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
RASHIDILHADI (kanan) menunjukkan sebahagian ikan dirampas selepas menahan dua bot nelayan Vietnam di Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


DUA bot nelayan Vietnam termasuk 21 nelayan dan tekong ditahan dalam Ops Iman dan Ops Naga Barat di Kemaman, semalam membabitkan rampasan bernilai RM1.5 juta.

Dua bot nelayan itu masing-masing ditahan pada jarak 58 dan 60 batu nautika Timur Laut Kuala Kemaman, Chukai pada 3.30 dan 4.15 petang.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, dua bot itu ditahan bersama nelayan berusia antara 17 hingga 67 tahun.

Beliau berkata, pihaknya merampas 5,000 kilogram (kg) ikan campur, 1,500kg ikan baja, 3,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

“Semua nelayan dan barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman pagi tadi untuk tindakan lanjut.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Kemaman di Chukai, hari ini.

Dalam pada itu, Rashidilhadi berkata, sebanyak 68 bot membabitkan seramai 610 nelayan Vietnam ditahan bermula April hingga hari ini dengan rampasan dianggarkan bernilai RM68 juta.

Beliau berkata, operasi membabitkan rondaan di kawasan perairan Kelantan hingga ke Pahang dengan kerjasama pelbagai agensi iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami dapati dalam tempoh tiga bulan ini, kemasukan nelayan Vietnam sangat serius memandangkan perairan ini mempunyai hasil tangkapan ikan bermutu tinggi.

“Berikutan arahan daripada Kabinet, kami akan terus berusaha mengekang aktiviti pencerobohan nelayan asing ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 9:19 PM