MOHD Senin Kassim memberi semangat Irfan Wafiy Idham sebelum peperiksaan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MOHD Senin Kassim memberi semangat Irfan Wafiy Idham sebelum peperiksaan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


“BUAT yang terbaik sayang, ingat pesan mama, baca doa dan langkah kaki kanan,” itu pesan Norlela Abu Hashim, 45, kepada anaknya, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang juga pesakit Myokymia akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

Kata-kata perangsang itu diucapkan wanita terbabit sebelum Irfan bersama 187 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menduduki peperiksaan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia di Pasir Gudang, hari ini.

Irfan yang ditemani ibunya itu dilihat hadir ke sekolah 6.50 pagi tadi sebelum dia yang bertongkat duduk di kerusi khas bagi mendengar taklimat dan tips terakhir mata pelajar Bahasa Malaysia.

Norlela berkata, dia mendoakan yang terbaik supaya anaknya dapat menduduki peperiksaan itu dengan keadaan tenang.

Katanya, dia yang berpuasa sunat sempena awal Muharam melihat Irfan bangkit dari tidur dan mandi sebelum menunaikan solat sunat.

“Perkara itu (solat sunat) memang sudah dipraktikkan anak-anak dan diteruskan Irfan.

“Paling tersentuh hati saya bila Irfan datang kepada saya serta bapanya untuk memohon diampunkan dosanya,” katanya sebak ketika ditemui di SK Taman Bukit Dahlia di Pasir Gudang, pagi ini.

Katanya, dia tidak memberi sebarang tekanan kepada anaknya itu, bahkan menyediakan sarapan bijirin bersama susu kurma.

Katanya, sebagai ikhtiar terakhir, dia bersama ibu bapa lain mengambil peluang melakukan solat sunat di sebuah bilik disediakan pengurusan sekolah.

Katanya, bagi memastikan kesihatan anaknya dalam keadaan terbaik, dia menjaga semua keperluan anaknya, selain menghentikan pengambilan ubat yang mengakibatkan anaknya itu mengantuk.

“Itu saja yang saya buat ketika ini kerana mahu dia tidur secara normal, selain tidak mahu mengganggu kesihatannya.

“Apa yang saya harapkan dan doakan supaya dia dapat buat yang terbaik dan memperoleh keputusan cemerlang seperti disasarkannya,” katanya.

Sementara itu, Irfan dilihat tekun mendengar taklimat guru panatia Bahasa Malaysia, Rasidah Kasmoni pada sesi taklimat mengenai peperiksaan subjek itu bermula jam 7.10 pagi.

Hadir sama memberikan motivasi Guru Besar sekolah itu Mohd Senin Kassim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh.

Keadaan kaki Irfan dilihat menggeletar sepanjang sesi itu, sebelum dia yang bertongkat memasuki bilik peperiksaan pada 7.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:44 AM